MUIS Holdings Sumbang RM10,000 Zakat Perniagaan Tahun 2025 kepada MUIS

KOTA KINABALU – Keprihatinan terhadap tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap prinsip keberkatan dalam perniagaan terus dizahirkan apabila MUIS Holdings Sdn Bhd menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM10,000 bagi tahun kewangan 2025 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

 

Penyerahan zakat ini bukan sekadar memenuhi tuntutan kewajipan, malah mencerminkan iltizam syarikat dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah di Sabah. Sebagai entiti milik penuh MUIS, sumbangan ini turut memperkukuh peranan institusi Islam dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terpelihara dan diperkasa.

 

Penyerahan zakat tersebut telah berlangsung semasa Majlis Iftar MUIS 2026 yang diadakan pada 13 Mac 2026 bersamaan 23 Ramadan 1447H. Acara utama ini berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) dan menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu majlis penuh bermakna.

 

Penyerahan ini telah disaksikan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama, serta YB Datuk Isnin Haji Aliasnih, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri. Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah acara penyerahan zakat korporat serta pengagihan bantuan kepada golongan asnaf, yang menjadi kemuncak program.

 

Sumbangan zakat perniagaan ini telah diserahkan oleh Pengurus Operasi MUIS Holdings, Shir Zaman bin Fazul Rahman kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Haji Yahya bin Haji Hussin. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Ramlan bin Awang Ali selaku Setiausaha MUIS.

 

Melalui sumbangan ini, MUIS Holdings berharap dapat terus menyokong usaha MUIS dalam memperluaskan agihan zakat, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan serta merangsang pembangunan ummah secara menyeluruh.